Lets fly..!



Monday, November 22, 2010









assalamualaikum dan salam penuh cinta dari kakak. apa khabar? semoga sihat dan aman, semoga sejahtera dan sentosa. untuk kakak di negeri jauh ini, alhamdulillah --berbiasa2 dan bertenang2 sahaja.



adikku Perempuan,



bagaimana hidupmu lewat kebelakangan ini? apakah elok? apakah molek? maafkan kakak kerana sudah terlalu lama tidak berutus surat, bertukar hikayat melalu warkah. arakian hari2 kakak semenjak dua ini terlalunya sibuk dengan pelbagai. harap dimaafkan. harap diampunkan.



adikku Perempuan,



mengenai soalan kamu tentang kekasihmu si Lelaki itu, sukar hendak kakak jawabkan. kakak sendiri masih mencari makna hidup sambil memperinci iman; gerun untuk kakak berikan kata2 hikmah untukmu. tapi kakak cuba juga.



adikku Perempuan,



mahalkan diri kamu itu, dik. jangan dilelong2 pada sesiapa sesuka rasa. sabarkan diri kamu dan yakinkan pada diri yang kamu ada harga. biar ditempik seribu orang, tuhan itu maha kaya, dan dia akan bagikan kamu seseorang yang selayaknya.



kuncinya hanya tunggu.



lebih cantik seorang kamu itu kalau bijaksana dan hebat sifat diri. seperti pusaka lama yang dimahukan dan diidam2, tapi terkhusus untuk dibeli juragan dan bukan orang kebanyakan. rasakan manis cinta pertama bersama tuan yang memilikmu sehingga habis usia dunia. atau kelak kamu akan merasa ralat kerana pemilik abadi cuma mendapatmu yang sudah sisa.



adikku Perempuan,



apalah digentarkan mati seorang, tak dikasih tak disayang tak dipandang. kalau sungguh imanmu pada tuhan, pasti kamu sedar yang tidak pernah walau sekali kita ditinggal belakang. setiap masa, tuhan itu penuh kasih, melimpah sayang, selalu memandang. kita selalu ada tuhan, dik. sentiasa. setiap masa.



dan sudah dijanji pada kita yang setiap kita tercipta sama pasangannya. maka percaya. dan tunggu datangnya dia. satu2nya dia. berhati2, wahai adikku Perempuan, bila datangnya jutaan Lelaki merempuh pandang, jangan terus2 rangkul kamu itu kamu depang. ingat, dan ingat selalu; semua itu tentera2 iblis yang mahu menggoyah iman kamu.



namun ah kalau pula ditunggu satu2nya dia yang tak kunjung tiba, berimanlah pada janji2nya yang kita semua sudah ditakdir berdua2. kalau tidak dijumpakan kita di dunia, apa dimarah; bukankah lebih manis bersua di syurga? kalau di setiap puisi dan lagu kamu nazamkan penantianmu ke pintu syurga, nah~ ini masanya, bukan?



adikku Perempuan,



kalau sungguh sudah terlepas rasa mengharap cinta pada Lelaki, kuncikan maruahmu dalam peti besi yang paling waja. ambilkan kuncinya dan buangkan ke laut, atau mintakan ayahbonda pegangkan sehingga tiba masanya. ingatlah, adikku Perempuan, tak ada parang yang mahu bersarung buruk; segaknya kan hilang, garangnya kan terbuang. dan kalau pun ada, kakak begitu pasti yang merananya kamu. kerana untuk parang secantik itu, semahunya kamu hendak menjadi sarung bertatah permata hanya untuk dia.



adikku Perempuan,



masa adalah sesuatu yang jahat untuk kaum kita. jasad kita adalah makanan utama usia. maka segalanya perlu teratur molek dan cantik. mungkin, adikku, kerana itu kita begitu terdesak untuk setiap apa yang kita susun dari seawal remaja. nasihat kakak, wahai sayangku, berhentilah kau kejarkan sesuatu yang tak terpegang itu. berhenti dan terima dengan tangan terbuka yang setiap apa yang terjadi adalah tulisan dari cerita tuhan. lebih keras kau genggam takdirmu, lebih teruk nanti akan jatuhmu.



adikku Perempuan,



akan datang bila setelah semuanya kamu kerjakan, takkan tercukup pada mata Lelaki. usah kau deraikan airmata kamu itu, dik. bila tiba hari itu yang setiap usaha keras kamu dibalas tuba dan celaka, amankan hati kamu dan senyumkan sahaja. bisikkan pada jiwa kamu yang sungguh sesuatu itu bukan rezekimu. khabarkan pada hati kamu yang kamu sudah cuba setiap termampu untuk Lelaki kamu. ujarkan terima kasih pada diri kamu yang sudah menghempas-pulas setiap darah yang memeluh tubuh itu.



lurutkan dada kamu dan kata:aku sudah cuba.



adikku Perempuan,



ada masa, tuhan mahu menduga iman yang terselit dalam dada. apakah kita lebih mengasihi Lelaki; atau Dia --yang mencipta Lelaki untuk kamu dapatkan. apakah kita lebih mencari Lelaki; atau Dia sendiri --yang mencipta Lelaki untuk kamu kejarkan.



adikku Perempuan,



kamu lebih tahu bagaimana untuk menghidupi hidupmu. kakak juga antara bidadari yang tersungkur, maka di manalah layaknya untuk kakak menjawab persoalan kamu itu. kalaulah ada apa2 yang mampu kakak paksakan untuk kamu telan intinya adalah ini: mahalkan diri kamu. jangan pun dijual pada orang sebarang2. kamu lebih tinggi dari apa kamu rasakan. pekakkan telinga pada lidah2 iblis yang mengajak kamu meniaga maruahmu secepatnya dek takut luput tarikh molekmu --kerana cantik kita tak berpenghujung bila mana dipelihara cantiknya kita itu.



adikku Perempuan,



semoga bertemu dalam lain2 warkah. sambutlah salam kasih dan cinta dari kakak ini, semoga terlerai setiap gusar risau hidup dunia yang tidak ke mana ini. semoga ayah dan bonda tidak pernah lari dari ingatan kamu.



sampai jumpa,kekandamu;















mahalkan dirimu... mahalkan dirimu...

11/22/2010 04:03:00 pm;

About me

RP Graduate
Material Science
Ex-Maarifian
Javanese - Malay by race
Islam - by religion
Aquarius
ten-two-eight eight
East residers
Third child out of 4

Image hosted by Photobucket.com



Wishes


fav


Talk to me!



JUKEBOX


Archives

December 2005
January 2006
February 2006
March 2006
April 2006
May 2006
June 2006
July 2006
August 2006
September 2006
October 2006
November 2006
December 2006
January 2007
February 2007
March 2007
April 2007
May 2007
June 2007
July 2007
August 2007
September 2007
October 2007
November 2007
December 2007
January 2008
February 2008
March 2008
April 2008
May 2008
June 2008
July 2008
August 2008
September 2008
October 2008
November 2008
December 2008
January 2009
February 2009
March 2009
April 2009
May 2009
June 2009
July 2009
August 2009
September 2009
October 2009
November 2009
December 2009
April 2010
May 2010
June 2010
July 2010
August 2010
September 2010
October 2010
November 2010
December 2010
January 2011
February 2011
March 2011
April 2011
May 2011
June 2011
September 2011
October 2011
January 2012
October 2012
November 2012







Chain up




CREDITS




blogspot
blogskins